Monday, June 29, 2009

INFO KELANTAN MENURUT HURUF ABJAD


Ambo
Maksudnya saya atau aku. Ambo adalah Bahasa paling lembut bagi orang
Kelantan untuk merujuk pada diri seseorang. Menariknya perkataan ambo juga
digunakan dengan meluas dalam masyarakat Minangkabau, di Indonesia.

Budu
Sejenis makanan tradisi orang Kelantan. Masih digemari sehingga kini.
Diperbuat daripada ikan bilis, kemudian diperam beberapa lama sehingga
ikan bilis hancur dan sebati dengan air yang dicampur garam.

Comel
Sebutan orang Kelantan yang sama makna dengan cantik atau menarik.
Biasanya merujuk kepada perempuan bahkan lelaki juga.

Demo
Bukan demonstrasi, tapi demo bagi orang Kelantan bermakna kamu, mu atau
awak. Bahasa ini agak kasar, hanya sesuai dituturkan dikalangan rakan
sebaya. Sementara orang muda kepada orang yang lebih tua usiannya ungkapan
“demo” ini dianggap tidak beradat. Justeru ditegah.

Etak.
Sejenis hidupan sungai, biasanya diperolehi dari Sungai Kelantan, lebih
kecil dan nipis daripada siput. Digaul garam kemudian dijemur pada panas
matahari. Etak dijual di Pasar Besar Siti Khitijah, Kota Bharu atau
pasar-pasar jajahan yang lain. Rasanya sedap. Kanak-kanak sangat
mengemarinya.

Fiil
Bermaksud perangai. Orang Kelantan menyebutnya bila menceritakan tentang
perangai seseorang, umpamanya si anu itu “fiil hodoh”!

Gobek
Mungkin generasi sekarang tidak mengenali lagi Gobek, iaitu sejenis alat
yang digunakan orang tua Kelantan zaman dulu, terutama yang giginya
sudah tanggal untuk menumbuk pinang/sireh. Kerana salah satu kegemaran
orang Kelatan ketika itu terutama perempuan ialah memakan sireh. Ada
kelucuan seputar “gobek” ini. Menurutnya, berasal daripada perkataan
Inggeris- go back. Diringkaskan menjadi gobek.

JKR 10
Sebuah bangunan kerajaan dibina khusus untuk kediaman Menteri Besar
Kelantan. Olehkerana Menteri Besar Kelantan sekarang, Tuan Guru Dato’ Nik
Abdul Aziz Nik Mat tinggal dikediamannya sendiri di Pulau Melaka, JKR 10
hanya menjadi lokasi menerima kunjungan tetamu yang saban hari melawat
Kelantan.

Kawe
Bermaksud saya atau aku. Orang Kelantan bila bersembang sesama orang
Kelantan yang sama sebaya sering membahaskan diri “kawe” bagi
menggantikan sebutan saya atau aku.

Laloh.
Nama sebuah kampung dalam Jajahan Kuala Krai. Sekarang Laloh menjadi
terkenal kerana termasuk dalam salah sebuah kampung dalam kawasan Pilihan
Raya Kecil N-41, Manek Urai, pada 14 Julai 2009.

Mek
Sapaan manja kepada gadis Kelantan, walaubagaimana pun istilah itu semakin
berkurangan penggunaannya dewasa ini.

Pulau Melaka.
Sebuah kampung berhampiran dengan Kota Bharu menjadi terkenal ke seluruh
Malaysia kerana di kampung inilah Menteri Besar Kelatan, Tuan Guru Dato’
Nik Abdul Aziz Nik Mat tinggal.

Singam
Sejenis masakan tradisi kegemaran orang Kelantan. Ikan kembong segar,
campur halia, cili hijau, garam dan air. Masakannya ringkas tapi sedap
rasanya. Bila kena sekali nak dua kali.

Tok Praeh (Periah?)
Bermaksud peniaga kecil yang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli
terutama di pasar-pasar di negeri Kelantan. Sebenarnya istilah “tok praeh”
ini berasal daripada perkataan Inggeris “interprise” .

* dipetik dalam majalah QIADAH. ^^

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...